Deligasi Kursus Guru Bahasa Arab di Oman

Deligasi Kursus Guru Bahasa Arab di Oman

Tuesday, June 2, 2009

MESY. PASCA PELAPORAN KURSUS B. ARAB DI OMAN

2 Jun 2009, 8.30pm - Satu mesyuarat pasca Kursus Bahasa Arab di Oman telah diadakan di Hotel Naza, Melaka Bandaraya Bersejarah. Mesyuarat itu yang merupakan mesyuarat pertama yang diadakan setelah kembalinya semua peserta kursus ke Malaysia. Mesyuarat ini yang boleh diumpamakan seperti 'pertemuan alumni' rombongan ke Oman menggamit kisah dan pengalaman menarik sepanjang berkursus di sana.

Mesyuarat dimulakan dengan taklimat mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ustaz Hj Mohd AbdAziz Mahmud dan dirasmikan oleh Tn. Hj. Anwar Hj Ahmad, Ketua IPPI, Bahagian Pengajian Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau sempat mengimbau pengalaman beliau sendiri semasa berada di Muscat, Oman semasa menguruskan persediaan kursus ini di Oman.

Laporan lisan kursus telah disampaikan oleh ketua deligasi Kursus Guru Bahasa Arab di Oman Ust. Md. Ahir bin Ahmad. Segala perkara dan dapatan yang diperolehi selama berada di Oman telah dirumus dalam satu ucapan ringkas beliau.

Sesi berakhir pada jam 10.30 malam dengan jamuan ringan.

Monday, May 18, 2009

SELAMAT HARI GURU

Tamat Kursus




by mior.

Tuesday, May 12, 2009

JADUAL PROGRAM SETERUSNYA

12 Mei 2009
1. Pembentangan Kertas Kerja bertajuk al-Ta'bir al-Syafawi
2. Bengkel Pembinaan Modul

13 Mei 2009
1. Pembentangan Kertas Kerja bertajuk al-Ta'bir al-Ittisali
2. Pembentangan Kertas Kerja bertajuk Maharah al-Takhlis

14 Mei 2009
Lawatan ke tempat-tempat bersejarah di sekitar Wilayah Rustaq

15 Mei 2009
Tazkirah Umum

16 Mei 2009
Pembentangan Kertas Kerja bertajuk al-Mu'jam al-Ahadi wa al-Mu'jam al-Thana'i

17 Mei 2009
1. Pembentangan Kertas Kerja bertajuk Maharah al-Imla'
2. Pembentangan Kertas Kerja bertajuk Maharah al-Kitabah
3. Majlis penutup dan penyampaian sijil

Monday, May 11, 2009

LAWATAN KE SEKOLAH-SEKOLAH DI OMAN Siri 3

11 Mei 09, Isnin - Pada hari ini kami bertolak dari hotel penginapan pada jam 6.45 pagi ke Mudiriyah untuk melakukan lawatan ke sekolah-sekolah untuk minggu ketiga. Kali ini satu kumpulan yang ditugaskan untuk menyiapkan modul BBM Audio Visual berdasarkan perbualan dalam buku teks telah dibawa ke Madrasah al-Masyariq untuk menyiapkan modul tersebut. Kumpulan ini yang diseliakan oleh Dr. Uqlah sampai di sana sekitar jam 8.00 pagi. Ketika sampai di sana, kami dapat melihat bagaimana pihak sekolah begitu teruja dan bersemangat untuk membantu kami menyiapkan tugasan ini. Krew yang dianggotai oleh 6 orang peserta kursus termasuk jurukamera amatur En. Khair Allutfi, terkejut kerana kerjasama pihak sekolah yang menyediakan ramai 'pelakon' cilik dan 'pelakon tambahan' yang pada asalnya dijangkakan seramai 12 orang sahaja.

Dr. Uqlah sibuk berbincang dan merancang sesi penggambaran bersama Penolong Kanan sekolah.
Apa yang menakjubkan kami ialah bagaimana para pelajar yang dipilih untuk melakonkan watak-watak seperti Bujang, Dayang, Mei Ling, Komala dan Ah Kim itu mempunyai bakat semulajadi yang membanggakan kerana dapat menghayati dan menghafal skrip yang diberikan dalam jangka masa yag singkat. Selain itu para guru yang bersama-sama dalam sesi penggambaran ini turut sama bersemangat menjayakannya dan begitu komited melatih anak-anak murid mereka. Sudah tentulah usaha ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa daya usaha dan pengalaman yang luas daripada Dr. Uqlah yang merupakan satu-satunya Pakar Pendidikan untuk institusi pendidikan seluruh Oman. Beliau yang mempunyai pengalaman menerbitkan siri bahan latihan pendidikan dan P&P dalam beberapa matapelajaran seperti Sains, Matematik dan Bahasa Arab pernah melakukan penggambaran di sekolah ini dimana salah seorang guru dan beberapa orang murid di sini terlibat dalam penggambaran tersebut. Menurut Dr. Uqlah, penggambaran yang dijalankan pada hari ini biasanya mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan dengan perancangan yang lama. Walaubagaimanapun, kerana kekangan masa tempoh latihan kami di sini dengan kerjasama yang erat oleh pihak sekolah, maka tugasan ini dapat disiapkan dalam tempoh beberapa jam sahaja. Syabas diucapkan kepada Dr. Uqlah yang telah membantu kami menjalankan sesi penggambaran ini dengan jayanya dan semua krew yang berjuang menyiapkan modul ini untuk rakan-rakan di Malaysia.
Dua orang 'pelakon utama' yang menjayakan sesi penggambaran. Ditengah-tengah adalah adik Fatimah yang comel dan petah bercakap.

Sunday, May 10, 2009

KISAH-KISAH LUCU DI OMAN

ABC

Pada satu pembentangan tugasan, Ustaz Salleh yang membentangkan tugasan kumpulan telah tersalah sebut nama salah seorang ahli kumpulannya iaitu Ustaz Esibi dengan menyebut Ustaz ABC. Sejak dari itu, nama Ustaz Esibi kerap dipanggil dengan panggilan Ustaz ABC pada ketika yang tertentu sama ada disengajakan atau tidak.

PINTU KACA

Di café tempat kami membesarkan perut masing-masing terdapat sebuah pintu kaca. Setakat berita ini di tulis sudah hampir 6 orang sama ada terlanggar atau terhantuk pintu tersebut dek kerana khusyuk bercakap dalam telefon, terlalu khusyuk memikirkan makanan kerana terlalu lapar atau kerana menganggap pintu tersebut telah terbuka, termasuk saudara Khair al-Lutfi. Ini membuktikan bahawa cleaner di hotel ini menjalankan kerja dengan baik sehingga pintu kaca tersebut tidak kelihatan seperti sebuah pintu.

SALAH KIRA

Setiap kali kami menaiki bas sama ada untuk ke Mudiriyah atau membuat lawatan ke sekitar Muscat, Ustaz Rahmat yang merupakan Naib Ketua Rombongan ditugaskan mengira jumlah penumpang. Acapkali kiraannya tersasar dan ada diantara penumpang yang ditinggalkan kerana pemandu dimaklumkan bahawa jumlah penumpang sudah mencukupi. Sejak peristiwa itu, tugas kira-mengira telah diambil alih oleh orang lain.

WAIN?

Ustaz Sattar yang sering menyerikan hari kami dengan jenaka pecah perutnya begitu teruja dengan kalimah WAIN (yang bermaksud DIMANA? dalam bahasa Arab pasar) yang sering diucapkannya sepanjang berkursus di sini. Beliau sering diusik dengan jawapan WAIN LA NASYRAB (yang bermaksud 'kami tak minum wain') oleh sesetengah kami. Selain itu beliau sangat popular dengan radio internetnya yang memakai cogankata MIN NAHNU LI NAHNU NAHNU FAQAT (Dari Kita Untuk Kita-Kita Sahaja).

ARAB VS JAWA

Menurut Ustaz Khairil Mukhtar, satu riwayat yang sanadnya tidak diketahui telah sampai ke pendengarannya yang berbunyi : “ Pada satu hari seorang lelaki Jawa yang tidak bersalah telah dipukul oleh seorang lelaki Arab. Dek kerana marah yang amat, maka lelaki Jawa tersebut berkata kepada lelaki Arab tersebut, “INSAN JAWA INSAN KHAIR, LA MAZA MAZA KOK DI DHOROBA (Maksudnya : Manusia Jawa manusia baik. Tiada apa-apa kok dipukulnya) sambil disambut dengan kegamatan gelak ketawa kami di dalam bas semasa menuju ke Mattrah.

SUJUD SAHWI

Ustaz KM meriwayatkan : “Pada satu hari ada seorang pemandu kereta di Mesir telah melanggar lampu merah. Lalu beliau ditahan oleh seorang pegawai polis trafik. Sebelum polis tersebut sempat memintanya keluar dari keretanya, pemandu tersebut dengan segera keluar dari keretanya dan terus sujud di tengah jalan. Lalu pegawai polis tadi kehairanan sambil bertanya : “ Apa yang hang buat tu?” Kata pemandu tersebut: “Aku sujud sahwi”. “ Kenapa hang sujud sahwi di tengah-tengah jalan ni?”. Kata pemandu itu, “Aku mintak maaf sebab tak berhenti masa lampu isyarat merah tadi. Wallahi aku terlupa, sebab tu aku buat sujud sahwi”.

PEMBELAJARAN KENDIRI

Ahad, 10 Mei 09 - Sesi kedua pada hari ini selepas pembentangan kertas kerja Dr. Mohd Uqlah adalah pembentangan kertas kerja Dr. Atta yang bertajuk Pembelajaran kendiri – pengertian, kepentingan dan teknik pengajaran (التعلم الذاتي - مفهوم, وماهية , واسلوب تدريسه .) Antara objektif kertas kerja ini adalah :

1. Membentangkan pembelajaran kendiri dalam pengajaran Bahasa Arab.
2. Menyenaraikan ciri-ciri pembelajaran kendiri.
3. Menyenaraikan aktiviti pembelajaran kendiri yang perlu diamalkan oleh guru.

Pada permulaan pembentangan kertas kerjanya, beliau mengajak kami melakukan satu aktiviti minda yang berbentuk penyelesaian masalah matematik yang menarik. Seterusnya beliau membentangkan kertas kerja di samping menjawab soalan-soalan yang diajukan. Beliau kemudian membawa kami mendekati teknik ini melalui aktiviti-aktiviti interaktif.



(Dilaporkan Oleh En. Mohd. Sayuti B. Abd Syukur)

PEMBELAJARAN KOPERATIF

Ahad, 10 Mei 09 - Pada pagi ini Dr. Mohd. Uqlah telah membentangkan satu kertas kerja yang sangat menarik bertajuk التعلم التعاوني. Antara objektif kertas kerja ini adalah :

1. Menjelaskan kepada para peserta bentuk pengajaran koperatif dalam pengajaran Bahasa Arab.
2. Menyarankan pengamalan pengajaran koperatif dalam pendidikan melalui pengurusan bilik darjah.
3. Menyenaraikan strategi pengajaran koperatif yang perlu diamalkan dalam bilik darjah.
4. Menyenaraikan contoh aktiviti pengajaran koperatif.

Di awal pembentangannya, beliau mengajak kami memberi pandangan tentang konsep pembelajaran koperatif. Ini dilakukan secara praktikal apabila sesi ini dikendalikan melalui kaedah pengajaran koperatif yang beliau sendiri kendalikan. Di dalam sesi ini, para peserta diminta mengadakan perbincangan berkumpulan mengenai pengajaran koperatif dan membentangkannya. Seterusnya beliau menunjukkan contoh pengurusan pengajaran koperatif melalui lakonan hidup dan tayangan video.

Selain itu. kami turut didedahkan dengan posisi kedudukan murid semasa p&p dijalankan, pengurusan kelas dan pergerakan murid di dalam kelas semasa pengajaran koperatif dilaksanakan.
(Dilaporkan oleh : En. Mohd Sayuti Bin Abd Syukur)

Friday, May 8, 2009

"KEPENATAN...TAPI KAMI GEMBIRA"

KHAMIS-7 MEI 2009. "KEPENATAN...TAPI KAMI GEMBIRA" Itulah perkataan yang boleh diucapkan oleh peserta kursus bahasa Arab. Hari ini peserta kursus dibawa menziarahi bandar Nizwa, sebuah bandar yang kaya dengan bangunan bersejarah. Rombongan kali ini juga disertai oleh pihak Kementerian Pelajaran Oman dan Mudiriah.

Perjalanan dari bandar Muscat ke Nizwa mengambil masa lebih kurang 2 jam. Rombongan bertolak dari hotel pada jam 7.00 pagi  dan sampai pada jam 9 pagi. Tempat pertama yang dilawati adalah Istana Jabreen. Apa yang menarik pada istana ini ialah keindahan seni bina dan ukiran yang yang masih lagi terpelihara dengan baik dalam istana ini . Terdapat pelbagai bilik  dibina di dalam istana ini antaranya bilik Imam, bilik tahanan lelaki dan perempuan, bilik mahkamah, mesyuarat dan tetamu.

Perjalanan seterusnya kami dibawa melawati sebuah perkampungan lama arab di Misfat al-Abriyeen. Latarbelakang perkampungan ini yang dikelilingi oleh banjaran gunung menyebabkan pemandangannya sangat cantik. Rombongan berpeluang berjalan melihat sendiri kehidupan masyarakat arab di situ disamping melihat beberapa kawasan menarik seperti kolam air, ladang kurma dan lain-lain. Rombongan juga dijamu dengan Halawat Omani,  sejenis manisan yang dibuat secara tradisional oleh masyarakat Oman sesudah turun daripada perkampungan tersebut.


Selepas itu peserta dibawa melawat Kubu Nizwa yang berada di Pekan Nizwa. Di dalam kubu tersebut terdapat muzium yang menceritkan tentang masyarakat Oman. Sesudah menunaikan solat Zuhur di Masjid Sultan Qabus yang bersebelahan dengan Kubu Nizwa, Rombongan bertolak ke Hotel Golden Tulip yang terletak berhampiran dengan Kota Nizwa. Disana rombongan dijamu makan tengahari oleh Kementerian Oman. Akhir sekali berlangsung sesi penyampaian cenderamata dan bergambar beramai-ramai di hadapan hotel.

Thursday, May 7, 2009

BAHASA ARAB DI MANA-MANA (SIRI 1)

Wednesday, May 6, 2009

LAWATAN KE KEMENTERIAN PELAJARAN

Pada hari ini, kami dibahagikan kepada 3 kumpulan untuk melakukan lawatan ke beberapa bahagian di Kementerian Pelajaran Oman. Antara bahagian yang dilawati :


1) Al-Mudiriyah al-'Ammah li al-Taqwim al-Tarbawi (@ Bahagian Peperiksaan)

Tujuan Lawatan : Mengetahui proses penilaian dalam peperiksaan yang dibuat oleh Sultanat Oman

2) Da'irah Isyraf (@ Sektor Pemantauan dan Penaziran)

Tujuan Lawatan : Mengetahui proses bagaimana kurikulum digubal dan mendapatkan gambaran secara menyeluruh berkaitan penggubalan dan pelaksanaan kurikulum.

3) Da'irah al-Manhaj (@ Sektor Kurikulum)

Tujuan Lawatan : Mengetahui proses dan cara pelaksanaan pemantauan pendidikan sekolah-sekolah di Oman.

Laporan lanjut hasil lawatan ini akan dipaparkan pada masa akan datang.

Pembentangan Hasil Lawatan Ke Sekolah-Sekolah

Satu bengkel pembentangan hasil pemerhatian setiap kumpulan ketika lawatan ke sekolah-sekolah sekitar bandar Muscat telah diadakan pada jam 6.00 petang di al-Mudiriyah. Setiap wakil kumpulan membentangkan hasil pemerhatian mereka secara keseluruhan dengan memberikan penumpuan kepada kelebihan, kekuatan dan kelemahan yang dapat dikesan sepanjang lawatan. Berikut antara perkara yang telah dibentangkan semasa bengkel tersebut :

Nama Sekolah
Madrasah Arwa bin Abdul Mutalib Lil Ta’lim Asasi Lil Banat

Kekuatan
1. Proses P & P menggunakan kaedah berpusatkan guru dan murid.
2. Aktiviti pembelajaran pelajar melalui permainan
3. Guru membantu belajar melakukan aktiviti pencerapan dan pemahaman secara kumpulan
4. Persediaan guru yang mencukupi.
5. Kreativiti pelajar dapat dicungkil oleh pelajar sendiri.Proses KBKK diterapkan sepanjang proses P&P

Kelemahan
1. Masa aktiviti murid yang tidak mencukupi.
2. Pengajaran pengukuhan tidak diterapkan.
3. Pengajaran pemulihan tidak menyeluruh.Suara guru mendatar.

Bahan-Bahan Yang Di Perolehi
1. Buku kajian penerapan nilai dalam buku teks
2. Buku Kajian penggunaan istilah dalam bilik darjah.

Rumusan
1. Aktiviti KBKK merangsang kreativiti pelajar.
2. Guru perlu mempunyai suara yang kuat untuk menghilangkan rasa bosan pelajar.
3. Pengetahuan sedia ada boleh diukur melalui sessi soal jawab dan latih tubi sepanjang proses P&P.

Nama Sekolah
Madrasah Al-Wadi Al
-Kabir

Kekuatan
1. Belajar mengikut kumpulan.
2. Pembelajaran banyak berpusatkan guru.
3. Bahan bantu mengajar yang berkisar kepada LCD, buku teks dan kad manila.
4. Langkah–langkah yang teratur dan pelbagai.
5. Pengurusan sekolah membuat pemantauan dan penyeliaan berterusan terhadap kompetensi guru-guru dan memberi penekanan kepada pentingnya Latihan Pembangunan Staff.
6. Pihak pengurusan secara terus menerus memberi dorongan dan galakan meningkatkan motivasi guru-guru untuk terus mencipta inovasi baru dalam P&P dan mencalonkan guru yang berpotensi ke peringkat mudiriyah hingga ke peringkat Sultanet.
7. Kerjasama yang amat utuh antara guru dengan guru serta guru dengan pengurusan dan saling berkongsi idea dan pendapat.Sekolah memperolehi pelbagai anugerah dan sijil penghargaan dari mudiriyyah dan kementerian pendidikan.

Kelemahan
Proses pengajaran dan pembelajaran kurang dipelbagaikan menggunakan permainan bahasa.

Bahan Yang Di ambil
1. Pamplet P & P (العرابيزي)
2. Power Point pengajaran bahasa Arab.
3. Bait Syair

Rumusan
P & P di sekolah ini lebih sesuai diterapkan di sekolah menengah

Tuesday, May 5, 2009

BELAJAR KHAT

Pada pagi ini kami mengikuti bengkel penulisan khat yang disampaikan oleh En. Hasan al-Bakry, Ketua Bahagian Bahan Bantu Mengajar. Pada permulaan bengkel, kami diminta menulis nama masing-masing dengan pen khat yang disediakan, kemudian satu diagnostik diberikan kepada kami untuk meninjau sejauhmana pengetahuan kami berkaitan Khat Riq'ah dan Khat Naskh.

Beliau kemudiannya memperkenalkan jenis-jenis khat seperti Nasakh, Riqa'ah, Thuluth, Diwani, Kufi dan al-Farisi disamping menjelaskan serba sedikit perbezaan antara jenis-jenis khat
tersebut. Seterusnya kami dilatih asas-asas menulis kedua-dua khat Riq'ah dan Naskh secara perbandingan. Rata-rata semua peserta menunjukkan minat dalam slot ini kerana majoriti tidak pernah didedahkan secara intensif dengan penulisan khat, apatah lagi masing-masing diberikan sebatang pen khat percuma.

Selepas slot ini tamat. Dr. Uqlah meneruskan slot dengan menyampaikan satu pendekatan yang sesuai untuk mengajar kemahiran penulisan khat kepada kami. Sesungguhnya penjelasan tersebut sangat bernas dan membawa kepada perbincangan yang menarik antara kami dengan beliau, terutamanya Ustaz Abd Aziz yang sering melontarkan persoalan-persoalan yang terbuku dalam benak fikirannya. Ketika jam menunjukkan pukul 2.00 petang, kami menaiki bas untuk pulang ke hotel penginapan.

LAWATAN KE SEKOLAH-SEKOLAH MINGGU KE-2


Pada hari ini kami sekali lagi bergerak dalam kumpulan lawatan ke sekolah-sekolah di sekitar Muscat. Kali ini beberapa kumpulan berpeluang melawat ke sekolah menengah. Selain itu, lawatan ke sekolah asas (rendah) tidak lagi bertumpu kepada kelas tahap 1, bahkan kepada kelas-kelas tahap pertengahan dan tinggi (murid-murid berumur sekitar 11-16 tahun). Antara analisa awal lawatan-lawatan tersebut adalah seperti berikut :




Nama Sekolah
Madrasah Al-Wadi Al-Kabir , Muscat

Ulasan:
Proses P&P berjalan seperti biasa, tiada perkara yang boleh diambil ( sesuatu yang baru ). P&P amat sesuai dijalan di sekolah menengah, tiada pelbagaian ABM digunakan. Murid banyak memberikan pandangan tentang tajuk. Murid aktif memberikan pandangan. Guru banyak menggunakan kaedah perbincangan, sumbangsaran dan penerangan.

(Senarai kependekan huruf untuk menulis SMS)

Nama Sekolah
Madrasah Asma’ Bint Abu Bakr li-Ta’lim Al-Asasi

Ulasan:
Proses P&P berjalan seperti biasa. Semasa lawatan ke sebuah kelas, P&P di sana berkaitan dengan gejala ‘ARABIZI yang merupakan singkatan kepada Arabic+English di mana berlaku pencemaran bahasa Arab yang dicampur dengan unsur-unsur bahasa Inggeris. Hal ini berlaku antaranya didorong oleh kemajuan teknologi seperti SMS dan ICT. Masyarakat disini khususnya muda-mudi terikut dengan trend ini umpamanya untuk memudahkan mereka menulis SMS dengan cepat.

(Asbahta taktubu bil Arabiyyah)

Monday, May 4, 2009

ورقة العمل الرابعة : الألعاب القرائية واللغوية وتطبيقاتها التربوية



Pada pagi ini, satu kuliah yang sangat menarik telah disampaikan En. Hasan al-Khabury berkaitan dengan permainan bahasa khususnya untuk kemahiran membaca. Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, kuliah tersebut telah disiarkan secara langsung dari Radio Kita, Oman. Antara isi kandungan kertas kerja yang dibentangkannya :




1. Permainan bahasa mempunyai peraturan dan syarat-syaratnya yang tersendiri yang perlu diberi perhatian.

2. Diantara kategori pembelajaran melalui permainan ialah penyelesaian masalah, pembelajaran kendiri, perbualan dan perbincangan serta permainan komputer.

3. 3 peringkat asas dalam pengajaran melalui permainan bahasa adalah seperti berikut :

Peringkat pertama : Persediaan
Peringkat kedua : Menjalankan P&P
Peringkat ketiga : Penilaian

4. Dalam pembelajaran melalui permainan, beliau menekankan bahawa guru mestilah mengambil berat tentang perkara-perkara berikut :

a. Menjelaskan objektif permainan

b. Menjelaskan cara permainan dan tugasan yang perlu dilakukan .

c. Tempoh menyiapkan tugasan.

d. Kaedah penilaian dan benchmark pencapaian murid.


5. Contoh-contoh pembelajaran menggunakan kaedah permainan :

- Permainan membina ayat.
- Permainan dadu huruf.
- Permainan bula jaring.v. Permainan kad.
- Permainan membina ayat mudah.
- Permainan titik huruf yang hilang
- Permainan potongan kalimah
- Permainan bulatan pengetahuan.

Sunday, May 3, 2009

JADUAL PROGRAM MINGGU INI

Ahad (3 Mei 2009)

8.30 pagi-2.00 petang
Kertas Kerja bertajuk (الألعاب القرائية واللغوية وتطبيقاتها التربوية)
Disampaikan oleh En. Hasan al-Khabury
Penyelaras Bahasa Arab di al-Mudiriyah

5.00 petang-8.00 malam
Bengkel Modul


Isnin (4 Mei 2009)

7.00 pagi-2.00 petang
Lawatan ke sekolah-sekolah di sekitar Muscat

5.00-6.45 malam
Bengkel

7.00-10.00
Majlis Makan Malam di Hotel Inter Continental, Muscat

Selasa (5 Mei 2009)

8.30 pagi-2.00 petang
Kertas kerja bertajuk (الخط العربي)
Disampaikan oleh En. Yusuf al-Bakry

5.00 petang-8.00 malam
Bengkel

Rabu (6 Mei 2009)

8.00 pagi-2.00 petang
Lawatan ke Kemeterian Pelajaran Oman

Saturday, May 2, 2009

HARI KESEPULUH (2 MEI 2009 – SABTU)

Pagi ini seperti pagi-pagi yang lain, kami bangun dengan penuh semangat untuk menghadiri kuliah keempat di al-Mudiriah. Kali ini Dr. Ata’ Abu Jabin sekali lagi membentangkan kertas kerja yang bertajuk ( الاستفهام و أسماء الإشارة) dan (الحال وما يتعلق بها). Kali ini beliau bukan sahaja membentangkan kertas kerja, bahkan kami diajak bersama menghayati kuliah beliau melalui kertas-kertas latihtubi yang disediakannya. Beliau yang terkenal dengan kegemarannya mengetuk meja dengan pembaris atau pen marker bagi menarik perhatian kami, sangat bersemangat menyampaikan kuliahnya sehinggakan tiada waktu yang terluang, melainkan akan diisinya dengan pembentangan kertas kerjanya.

Pada petangnya, kami ke Mudiriyah semula untuk menyambung siri bengkel yang telah dijadualkan. Bengkel kali ini berjalan mengikut kumpulan tugasan organisasi rombongan yang terdiri daripada Biro Kurikulum, Biro ICT dan Biro Dokumentasi. Ketika ini, Ustaz Abdul Sattar yang digelar ‘Sifu’ ICT di kalangan kami ‘menunjukkan belangnya’ yang sebenar apabila mendedahkan skil-skilnya, termasuk kemahiran mengendalikan radionya ‘Radio Kita’. Kami terpukau dengan skilnya itu sehingga perjalanan bengkel pada petang itu ceria dengan keletah sesetengah kami yang melayan radio tersebut. Menurut Ustaz Abdul Sattar, beliau merancang untuk menyiarkan kuliah pada esok hari secara live. Ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada para pendengar untuk bersama-sama mengikuti kuliah tersebut. Bagi peminat-peminat Radio Kita, jangan lupa mengikuti liputan kuliah secara langsung dari Oman yang akan dibentangkan oleh En. Hasan al-Khabury yang bertajuk Permainan Pengajaran Bahasa Bagi Kemahiran Membaca pada jam 8.30 pagi waktu Oman.


Khair Lutfi sedang melayan Radio Kita sambil menyiapkan tugasannya

HARI KELAPAN

Pagi ini kami menyambung core-business kami dengan mengadakan satu lagi bengkel. Kali ini kami dibahagikan kepada 4 kumpulan khusus untuk menyediakan modul yang dirancang. Antara modul yang akan disediakan sepanjang kursus ini ialah:

1. Modul BBM (rakaman hiwar berdasarkan buku teks BA tahun 1 & 2)
2. Modul Istilah (iklan dan istilah khas)
3. Modul Bahasa Kelas
4. Modul Permainan Bahasa

Setiap kumpulan yang dibentuk ditugaskan untuk menggariskan objektif, keperluan, rangka kerja, dan timeline kumpulan masing-masing. Ketika jam menunjukan pukul 10.30, kami bersurai untuk bersiap-siap mendirikan solat Jumaat di Masjid al-Taimur yang terletak berdekatan dengan hotel penginapan.




Pada petangnya, kami berkesempatan melawat Masjid Sultan Qabus yang begitu menakjubkan. Kami difahamkan oleh beberapa kakitangan di masjid ini bahawa masjid ini telah mengambil masa selama 6 tahun untuk disiapkan dengan penyertaan daripada jururtera-jurutera dari beberapa buah negara Islam, termasuk dari Malaysia. Selesai solat maghrib, kami meninjau keindahan setiap sudut masjid. Ketika ini kami berkesempatan berjumpa dengan beberapa orang Malaysia yang bekerja di sini dan di negara Bahrain yang mengambil kesempatan cuti Hari Buruh untuk melancong.

Selepas pertemuan singkat itu, kami dibawa oleh bas Abu Khalid melawat pekan Souq Seeb yang terletak dipinggir pantai Muscat. Di pekan ini, kami berkesempatan mengunjungi sebuah kedai jahit untuk menempah pakaian tradisi masyarakat Oman dengan harga sekitar RO 6, iaitu antara harga yang termurah untuk pakaian tempahan. Sehingga jam 10.00 malam, kami dibuai oleh angin sepoi-sepoi bahasa dari pantai berdekatan sambil menikmati roti prata dan syawarma yang dijual di kedai-kedai sepanjang pantai tersebut.

Thursday, April 30, 2009

HARI KETUJUH

Hari ini merupakan hari cuti bekerja untuk pejabat-pejabat kerajaan di Oman. Di Oman, hari cuti bekerja ditetapkan pada hari Khamis dan Jumaat. Penyelaras rombongan, Ustaz Ideris Abd Rahim telah menyusun jadual lawatan ke tempat-tempat sekiar Muscat dengan kerjasama yang baik yang diberikan oleh pemandu rasmi rombongan kami, Abu Khalid. Beliau yang masih bujang sentiasa setia membawa kami meninjau setiap ceruk bandar Muscat ini dan sentiasa sabar dengan karenah kami yang bermacam ragam. Kali ini beliau membawa kami ke sekitar Matraah, sebuah bandar pelabuhan dimana berdiri megah di sana sebuah istana Sultan Qabus. Sepanjang perjalanan tersebut, kami disajikan dengan keunikan geografi Oman. Satu keistimewaan yang dikatakan wujud di Oman dan tidak wujud dimana-mana negara Arab yang lain ialah kedudukan lautnya yang disempadani oleh bukit-bukau. Sememangnya pemandangan ini memang jarang dapat dilihat di mana-mana.

Kesempatan ini tidak dapat dilepaskan oleh setiap peserta rombongan. Hatta Ustaz Abd Aziz yang kesakitan akibat giginya yang sakit sejak sampai di Oman juga tidak dapat menahan gelojak hatinya untuk turut sama dalam perjalanan ini. Hampir setiap sudut yang dapat dilihat oleh mata kami diabadikan dalam gambar yang diambil dengan kamera masing-masing yang tidak berkodak. Kebetulan pada ketika kami melawat sebuat pantai yang berdekatan dengan istana Sultan Qabus, beberapa orang nelayan mendarat di situ untuk menurunkan hasil tangkapan mereka. Ketakjuban kami tidak dapat ditahan lagi apabila masing-masing berposing dengan ikan-ikan jerung yang ditangkap oleh nelayan-nelayan tersebut menggunakan sebuah bot kecil. Selepas itu, Abu Khalid membawa kami ke sebuah pekan elektronik yang sarat dengan kedai-kedai menjual peralatan komputer dan elektrik. Setelah hampir 2 jam meronda pekan tersebut, kami solat maghrib di sebuah masjid yang berdekatan. Selesai solat, Abu Khalid membawa kami ke sebuah lagi pusat membeli belah. Kami pulang ke hotel penginapan sekitar jam 10.00 malam.

Pada malamnya diadakan majlis bacaan Yaasin selepas solat Maghrib berjemaah. Majlis yang diketuai oleh al-Fadhil Ustaz Afandi ini merupakan antara aktiviti kerohanian yang disusun sepanjang kursus ini selain slot tazkirah dan forum agama yang diadakan setiap hari selepas solat Subuh. Slot-slot tersebut yang telah disusun mengikut jadual yang ditetapkan oleh Biro Agama dijalankan berserta dengan program ziarah dimana kami menziarahi bilik penginapan para muzakkir yang ditugaskan menyampaikan tazkirah. Aktiviti ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dan saf ikatan antara semua peserta dan mengeratkan lagi kerjasama berpasukan, selain memastikan diri para peserta tidak kosong tanpa pengisian yang menjadi nadi kekuatan kumpulan ini.

Wednesday, April 29, 2009

HARI KEENAM

Pada hari ini, kami sekali lagi membentuk kumpulan lawatan masing-masing untuk di bawa melawat ke sekolah-sekolah sekitar bandar Muscat. Berikut adalah maklumat tentang lawatan tersebut :

Nama Sekolah

1. Madrasah As-sultan
2. The International School Choueifat
3. Madrasah al Hindiah Muscat
4. Madrasah India Oman

Objektif

● Dapat melihat secara langsung proses Pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

● Mengambil contoh P & P yang berkesan dan bermakna kepada pelajar untuk diaplikasikan guru-guru di Malaysia ( dari segi Perancangan dan pelaksanaan serta mengambil kira aktiviti dan bahan Bantu mengajar yang menarik dan berkesan)

Aktiviti yang dijalankan

● Pertemuan dan perbincangan bersama dengan pentadbir sekolah dan taaruf.

● Dibawa melawat kelas ( Melihat P & P di kelas dan bangunan pentadbiran dan tempat utama seperti perpustakaan, bilik peperiksaan, tempat riadah dan tempat didikan kanak-kanak).

Liputan lanjut berhubung lawatan ini akan dikemaskini dari masa ke semasa

HARI KELIMA

Pada hari ini para peserta kembali semula ke dewan kuliah. Kali ini Dr. Ata’ Abu Jabin membentangkan kertas kerja yang bertajuk (النكرة والمعرفة) dan (المبتدأ والخبر والنواسه – كان وأخواتها وإن وأخزاتها)). Kuliah yang sarat dengan maklumat dan ulangkaji bagi kebanyakkan peserta yang telah lama meninggalkan alam nahu dan saraf itu berakhir pada jam 2.00 petang. Kali ini Dr. Ata’ Abu Jabin bukan sahaja membentangkan kertas kerja, bahkan mengajak semua peserta bersama-sama menggunakan pengetahuan yang disampaikan melalui lembaran-lembaran kerja yang disediakan.



Tuesday, April 28, 2009

HARI KEEMPAT



LAWATAN KE SEKOLAH-SEKOLAH DI OMAN

Masa lawatan
7.30 pagi-2.00 petang
* peserta kursus dibahagikan kepada 4 kumpulan. Setiap kumpulan mengandungi 6-7 orang bersama seorang kakitangan Mudiriyah)

Jenis Sekolah
Sekolah rendah (Asasi)

Kedudukan sekolah
Sekolah bandar dan pinggir bandar Muscat

Nama Sekolah
Madrasah al-Zahraa’ Li al-Ta’lim al-Asasi
Madrasah Umal li al-Ta’lim asasi
Madrasah Zahrah al-Maarif
Madrasah Al-Uzaibah li al-Ta’lim al-Asasi
Madrasah Thurayya binti Muhammad al-Bu Sa’id

ANALISA DAPATAN AWAL SEPANJANG LAWATAN TERSEBUT

Keadaan Kelas
1) Kelas yang amat selesa. Rata-rata semua kelas mempunyai susun atur yang kemas. Beg-beg murid sama ada diletakkan di bangku panjang di belakang kelas atau digantung di tempat yang dikhaskan.

2) Kelas yang kondusif, ada penghawa dingin, kedap bunyi dan sangat selesa
3) Jumlah pelajar seramai antara 26-30 orang memudahkan pengawalan kelas

Kedudukan murid dalam kelas
1) Murid-murid belajar mengikut kumpulan, setiap murid sama ada mempunyai meja sendiri atau berkongsi sebuah meja besar dengan ahli kumpulan.

Cara guru menjalankan P & P
1) Hasil pengajaran dinyatakan di sudut papan hitam
2) Langkah –langkah yang teratur
3) Pengulangan isi pengajaran begitu kreatif
4) Penyampaian guru yang jelas dan teratur
5) Isi pembelajaran tidak begitu banyak
6) Suara guru yang sangat lantang dan menekankan sebutan yang jelas ketika mengajar.
7) KBKK diterapkan secara menyeluruh dalam setiap aktiviti.
8) Guru menggunakan gaya pengajaran berpusatkan pelajar dan BBM.
9) Rancangan pengajaran guru teratur dan diamalkan melalui P&P
10) Guru mempelbagaikan teknik pengajaran melalui aktiviti latihvtubi dan teknik penyoalan.
11) Guru sangat kreatif dalam melaksanakan aktiviti
12) Guru sentiasa memuji murid, memberi ganjaran kepada pelajar yang berjaya dalam setiap aktiviti

BBM yang digunakan
1) Bahan bantu mengajar yang pelbagai menarik minat pelajar.
2) Penggunaan BBM pada setiap aktiviti memudahkan guru dan menarik minat pelajar.
3) BBM yang berlainan dalam setiap kumpulan ketika langkah pengajaran yang sama dilaksanakan.
4) Penggunaan BBM yang berwarna warni menarik minat pelajar.

Penglibatan murid-murid dalam kelas
1) Murid murid aktif
2) Murid diminta mencuba menjawab sedaya upaya mereka.

Isi kandungan P & P
1) Guru menggunakan gaya pengajaran berpusatkan pelajar dan BBM.

Bahan –bahan yang diperolehi hasil lawatan:

1. Lagu-lagu Arab untuk tujuan P&P
2. Bahan-bahan pemulihan
3. Power Point pengajaran bahasa Arab.
4. Buku katalog bahan P&P
5. Buku Rekod Pengajaran Guru
6. Buku Panduan Aktiviti Ko-kurikulum
7. Kompilasi kertas-kertas kerja