Deligasi Kursus Guru Bahasa Arab di Oman

Deligasi Kursus Guru Bahasa Arab di Oman

Monday, May 11, 2009

LAWATAN KE SEKOLAH-SEKOLAH DI OMAN Siri 3

11 Mei 09, Isnin - Pada hari ini kami bertolak dari hotel penginapan pada jam 6.45 pagi ke Mudiriyah untuk melakukan lawatan ke sekolah-sekolah untuk minggu ketiga. Kali ini satu kumpulan yang ditugaskan untuk menyiapkan modul BBM Audio Visual berdasarkan perbualan dalam buku teks telah dibawa ke Madrasah al-Masyariq untuk menyiapkan modul tersebut. Kumpulan ini yang diseliakan oleh Dr. Uqlah sampai di sana sekitar jam 8.00 pagi. Ketika sampai di sana, kami dapat melihat bagaimana pihak sekolah begitu teruja dan bersemangat untuk membantu kami menyiapkan tugasan ini. Krew yang dianggotai oleh 6 orang peserta kursus termasuk jurukamera amatur En. Khair Allutfi, terkejut kerana kerjasama pihak sekolah yang menyediakan ramai 'pelakon' cilik dan 'pelakon tambahan' yang pada asalnya dijangkakan seramai 12 orang sahaja.

Dr. Uqlah sibuk berbincang dan merancang sesi penggambaran bersama Penolong Kanan sekolah.
Apa yang menakjubkan kami ialah bagaimana para pelajar yang dipilih untuk melakonkan watak-watak seperti Bujang, Dayang, Mei Ling, Komala dan Ah Kim itu mempunyai bakat semulajadi yang membanggakan kerana dapat menghayati dan menghafal skrip yang diberikan dalam jangka masa yag singkat. Selain itu para guru yang bersama-sama dalam sesi penggambaran ini turut sama bersemangat menjayakannya dan begitu komited melatih anak-anak murid mereka. Sudah tentulah usaha ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa daya usaha dan pengalaman yang luas daripada Dr. Uqlah yang merupakan satu-satunya Pakar Pendidikan untuk institusi pendidikan seluruh Oman. Beliau yang mempunyai pengalaman menerbitkan siri bahan latihan pendidikan dan P&P dalam beberapa matapelajaran seperti Sains, Matematik dan Bahasa Arab pernah melakukan penggambaran di sekolah ini dimana salah seorang guru dan beberapa orang murid di sini terlibat dalam penggambaran tersebut. Menurut Dr. Uqlah, penggambaran yang dijalankan pada hari ini biasanya mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan dengan perancangan yang lama. Walaubagaimanapun, kerana kekangan masa tempoh latihan kami di sini dengan kerjasama yang erat oleh pihak sekolah, maka tugasan ini dapat disiapkan dalam tempoh beberapa jam sahaja. Syabas diucapkan kepada Dr. Uqlah yang telah membantu kami menjalankan sesi penggambaran ini dengan jayanya dan semua krew yang berjuang menyiapkan modul ini untuk rakan-rakan di Malaysia.
Dua orang 'pelakon utama' yang menjayakan sesi penggambaran. Ditengah-tengah adalah adik Fatimah yang comel dan petah bercakap.

No comments: