Deligasi Kursus Guru Bahasa Arab di Oman

Deligasi Kursus Guru Bahasa Arab di Oman

Sunday, May 10, 2009

KISAH-KISAH LUCU DI OMAN

ABC

Pada satu pembentangan tugasan, Ustaz Salleh yang membentangkan tugasan kumpulan telah tersalah sebut nama salah seorang ahli kumpulannya iaitu Ustaz Esibi dengan menyebut Ustaz ABC. Sejak dari itu, nama Ustaz Esibi kerap dipanggil dengan panggilan Ustaz ABC pada ketika yang tertentu sama ada disengajakan atau tidak.

PINTU KACA

Di café tempat kami membesarkan perut masing-masing terdapat sebuah pintu kaca. Setakat berita ini di tulis sudah hampir 6 orang sama ada terlanggar atau terhantuk pintu tersebut dek kerana khusyuk bercakap dalam telefon, terlalu khusyuk memikirkan makanan kerana terlalu lapar atau kerana menganggap pintu tersebut telah terbuka, termasuk saudara Khair al-Lutfi. Ini membuktikan bahawa cleaner di hotel ini menjalankan kerja dengan baik sehingga pintu kaca tersebut tidak kelihatan seperti sebuah pintu.

SALAH KIRA

Setiap kali kami menaiki bas sama ada untuk ke Mudiriyah atau membuat lawatan ke sekitar Muscat, Ustaz Rahmat yang merupakan Naib Ketua Rombongan ditugaskan mengira jumlah penumpang. Acapkali kiraannya tersasar dan ada diantara penumpang yang ditinggalkan kerana pemandu dimaklumkan bahawa jumlah penumpang sudah mencukupi. Sejak peristiwa itu, tugas kira-mengira telah diambil alih oleh orang lain.

WAIN?

Ustaz Sattar yang sering menyerikan hari kami dengan jenaka pecah perutnya begitu teruja dengan kalimah WAIN (yang bermaksud DIMANA? dalam bahasa Arab pasar) yang sering diucapkannya sepanjang berkursus di sini. Beliau sering diusik dengan jawapan WAIN LA NASYRAB (yang bermaksud 'kami tak minum wain') oleh sesetengah kami. Selain itu beliau sangat popular dengan radio internetnya yang memakai cogankata MIN NAHNU LI NAHNU NAHNU FAQAT (Dari Kita Untuk Kita-Kita Sahaja).

ARAB VS JAWA

Menurut Ustaz Khairil Mukhtar, satu riwayat yang sanadnya tidak diketahui telah sampai ke pendengarannya yang berbunyi : “ Pada satu hari seorang lelaki Jawa yang tidak bersalah telah dipukul oleh seorang lelaki Arab. Dek kerana marah yang amat, maka lelaki Jawa tersebut berkata kepada lelaki Arab tersebut, “INSAN JAWA INSAN KHAIR, LA MAZA MAZA KOK DI DHOROBA (Maksudnya : Manusia Jawa manusia baik. Tiada apa-apa kok dipukulnya) sambil disambut dengan kegamatan gelak ketawa kami di dalam bas semasa menuju ke Mattrah.

SUJUD SAHWI

Ustaz KM meriwayatkan : “Pada satu hari ada seorang pemandu kereta di Mesir telah melanggar lampu merah. Lalu beliau ditahan oleh seorang pegawai polis trafik. Sebelum polis tersebut sempat memintanya keluar dari keretanya, pemandu tersebut dengan segera keluar dari keretanya dan terus sujud di tengah jalan. Lalu pegawai polis tadi kehairanan sambil bertanya : “ Apa yang hang buat tu?” Kata pemandu tersebut: “Aku sujud sahwi”. “ Kenapa hang sujud sahwi di tengah-tengah jalan ni?”. Kata pemandu itu, “Aku mintak maaf sebab tak berhenti masa lampu isyarat merah tadi. Wallahi aku terlupa, sebab tu aku buat sujud sahwi”.

No comments: