Deligasi Kursus Guru Bahasa Arab di Oman

Deligasi Kursus Guru Bahasa Arab di Oman

Sunday, May 3, 2009

JADUAL PROGRAM MINGGU INI

Ahad (3 Mei 2009)

8.30 pagi-2.00 petang
Kertas Kerja bertajuk (الألعاب القرائية واللغوية وتطبيقاتها التربوية)
Disampaikan oleh En. Hasan al-Khabury
Penyelaras Bahasa Arab di al-Mudiriyah

5.00 petang-8.00 malam
Bengkel Modul


Isnin (4 Mei 2009)

7.00 pagi-2.00 petang
Lawatan ke sekolah-sekolah di sekitar Muscat

5.00-6.45 malam
Bengkel

7.00-10.00
Majlis Makan Malam di Hotel Inter Continental, Muscat

Selasa (5 Mei 2009)

8.30 pagi-2.00 petang
Kertas kerja bertajuk (الخط العربي)
Disampaikan oleh En. Yusuf al-Bakry

5.00 petang-8.00 malam
Bengkel

Rabu (6 Mei 2009)

8.00 pagi-2.00 petang
Lawatan ke Kemeterian Pelajaran Oman

Saturday, May 2, 2009

HARI KESEPULUH (2 MEI 2009 – SABTU)

Pagi ini seperti pagi-pagi yang lain, kami bangun dengan penuh semangat untuk menghadiri kuliah keempat di al-Mudiriah. Kali ini Dr. Ata’ Abu Jabin sekali lagi membentangkan kertas kerja yang bertajuk ( الاستفهام و أسماء الإشارة) dan (الحال وما يتعلق بها). Kali ini beliau bukan sahaja membentangkan kertas kerja, bahkan kami diajak bersama menghayati kuliah beliau melalui kertas-kertas latihtubi yang disediakannya. Beliau yang terkenal dengan kegemarannya mengetuk meja dengan pembaris atau pen marker bagi menarik perhatian kami, sangat bersemangat menyampaikan kuliahnya sehinggakan tiada waktu yang terluang, melainkan akan diisinya dengan pembentangan kertas kerjanya.

Pada petangnya, kami ke Mudiriyah semula untuk menyambung siri bengkel yang telah dijadualkan. Bengkel kali ini berjalan mengikut kumpulan tugasan organisasi rombongan yang terdiri daripada Biro Kurikulum, Biro ICT dan Biro Dokumentasi. Ketika ini, Ustaz Abdul Sattar yang digelar ‘Sifu’ ICT di kalangan kami ‘menunjukkan belangnya’ yang sebenar apabila mendedahkan skil-skilnya, termasuk kemahiran mengendalikan radionya ‘Radio Kita’. Kami terpukau dengan skilnya itu sehingga perjalanan bengkel pada petang itu ceria dengan keletah sesetengah kami yang melayan radio tersebut. Menurut Ustaz Abdul Sattar, beliau merancang untuk menyiarkan kuliah pada esok hari secara live. Ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada para pendengar untuk bersama-sama mengikuti kuliah tersebut. Bagi peminat-peminat Radio Kita, jangan lupa mengikuti liputan kuliah secara langsung dari Oman yang akan dibentangkan oleh En. Hasan al-Khabury yang bertajuk Permainan Pengajaran Bahasa Bagi Kemahiran Membaca pada jam 8.30 pagi waktu Oman.


Khair Lutfi sedang melayan Radio Kita sambil menyiapkan tugasannya

HARI KELAPAN

Pagi ini kami menyambung core-business kami dengan mengadakan satu lagi bengkel. Kali ini kami dibahagikan kepada 4 kumpulan khusus untuk menyediakan modul yang dirancang. Antara modul yang akan disediakan sepanjang kursus ini ialah:

1. Modul BBM (rakaman hiwar berdasarkan buku teks BA tahun 1 & 2)
2. Modul Istilah (iklan dan istilah khas)
3. Modul Bahasa Kelas
4. Modul Permainan Bahasa

Setiap kumpulan yang dibentuk ditugaskan untuk menggariskan objektif, keperluan, rangka kerja, dan timeline kumpulan masing-masing. Ketika jam menunjukan pukul 10.30, kami bersurai untuk bersiap-siap mendirikan solat Jumaat di Masjid al-Taimur yang terletak berdekatan dengan hotel penginapan.




Pada petangnya, kami berkesempatan melawat Masjid Sultan Qabus yang begitu menakjubkan. Kami difahamkan oleh beberapa kakitangan di masjid ini bahawa masjid ini telah mengambil masa selama 6 tahun untuk disiapkan dengan penyertaan daripada jururtera-jurutera dari beberapa buah negara Islam, termasuk dari Malaysia. Selesai solat maghrib, kami meninjau keindahan setiap sudut masjid. Ketika ini kami berkesempatan berjumpa dengan beberapa orang Malaysia yang bekerja di sini dan di negara Bahrain yang mengambil kesempatan cuti Hari Buruh untuk melancong.

Selepas pertemuan singkat itu, kami dibawa oleh bas Abu Khalid melawat pekan Souq Seeb yang terletak dipinggir pantai Muscat. Di pekan ini, kami berkesempatan mengunjungi sebuah kedai jahit untuk menempah pakaian tradisi masyarakat Oman dengan harga sekitar RO 6, iaitu antara harga yang termurah untuk pakaian tempahan. Sehingga jam 10.00 malam, kami dibuai oleh angin sepoi-sepoi bahasa dari pantai berdekatan sambil menikmati roti prata dan syawarma yang dijual di kedai-kedai sepanjang pantai tersebut.