Deligasi Kursus Guru Bahasa Arab di Oman

Deligasi Kursus Guru Bahasa Arab di Oman

Thursday, April 30, 2009

HARI KETUJUH

Hari ini merupakan hari cuti bekerja untuk pejabat-pejabat kerajaan di Oman. Di Oman, hari cuti bekerja ditetapkan pada hari Khamis dan Jumaat. Penyelaras rombongan, Ustaz Ideris Abd Rahim telah menyusun jadual lawatan ke tempat-tempat sekiar Muscat dengan kerjasama yang baik yang diberikan oleh pemandu rasmi rombongan kami, Abu Khalid. Beliau yang masih bujang sentiasa setia membawa kami meninjau setiap ceruk bandar Muscat ini dan sentiasa sabar dengan karenah kami yang bermacam ragam. Kali ini beliau membawa kami ke sekitar Matraah, sebuah bandar pelabuhan dimana berdiri megah di sana sebuah istana Sultan Qabus. Sepanjang perjalanan tersebut, kami disajikan dengan keunikan geografi Oman. Satu keistimewaan yang dikatakan wujud di Oman dan tidak wujud dimana-mana negara Arab yang lain ialah kedudukan lautnya yang disempadani oleh bukit-bukau. Sememangnya pemandangan ini memang jarang dapat dilihat di mana-mana.

Kesempatan ini tidak dapat dilepaskan oleh setiap peserta rombongan. Hatta Ustaz Abd Aziz yang kesakitan akibat giginya yang sakit sejak sampai di Oman juga tidak dapat menahan gelojak hatinya untuk turut sama dalam perjalanan ini. Hampir setiap sudut yang dapat dilihat oleh mata kami diabadikan dalam gambar yang diambil dengan kamera masing-masing yang tidak berkodak. Kebetulan pada ketika kami melawat sebuat pantai yang berdekatan dengan istana Sultan Qabus, beberapa orang nelayan mendarat di situ untuk menurunkan hasil tangkapan mereka. Ketakjuban kami tidak dapat ditahan lagi apabila masing-masing berposing dengan ikan-ikan jerung yang ditangkap oleh nelayan-nelayan tersebut menggunakan sebuah bot kecil. Selepas itu, Abu Khalid membawa kami ke sebuah pekan elektronik yang sarat dengan kedai-kedai menjual peralatan komputer dan elektrik. Setelah hampir 2 jam meronda pekan tersebut, kami solat maghrib di sebuah masjid yang berdekatan. Selesai solat, Abu Khalid membawa kami ke sebuah lagi pusat membeli belah. Kami pulang ke hotel penginapan sekitar jam 10.00 malam.

Pada malamnya diadakan majlis bacaan Yaasin selepas solat Maghrib berjemaah. Majlis yang diketuai oleh al-Fadhil Ustaz Afandi ini merupakan antara aktiviti kerohanian yang disusun sepanjang kursus ini selain slot tazkirah dan forum agama yang diadakan setiap hari selepas solat Subuh. Slot-slot tersebut yang telah disusun mengikut jadual yang ditetapkan oleh Biro Agama dijalankan berserta dengan program ziarah dimana kami menziarahi bilik penginapan para muzakkir yang ditugaskan menyampaikan tazkirah. Aktiviti ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dan saf ikatan antara semua peserta dan mengeratkan lagi kerjasama berpasukan, selain memastikan diri para peserta tidak kosong tanpa pengisian yang menjadi nadi kekuatan kumpulan ini.

Wednesday, April 29, 2009

HARI KEENAM

Pada hari ini, kami sekali lagi membentuk kumpulan lawatan masing-masing untuk di bawa melawat ke sekolah-sekolah sekitar bandar Muscat. Berikut adalah maklumat tentang lawatan tersebut :

Nama Sekolah

1. Madrasah As-sultan
2. The International School Choueifat
3. Madrasah al Hindiah Muscat
4. Madrasah India Oman

Objektif

● Dapat melihat secara langsung proses Pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

● Mengambil contoh P & P yang berkesan dan bermakna kepada pelajar untuk diaplikasikan guru-guru di Malaysia ( dari segi Perancangan dan pelaksanaan serta mengambil kira aktiviti dan bahan Bantu mengajar yang menarik dan berkesan)

Aktiviti yang dijalankan

● Pertemuan dan perbincangan bersama dengan pentadbir sekolah dan taaruf.

● Dibawa melawat kelas ( Melihat P & P di kelas dan bangunan pentadbiran dan tempat utama seperti perpustakaan, bilik peperiksaan, tempat riadah dan tempat didikan kanak-kanak).

Liputan lanjut berhubung lawatan ini akan dikemaskini dari masa ke semasa

HARI KELIMA

Pada hari ini para peserta kembali semula ke dewan kuliah. Kali ini Dr. Ata’ Abu Jabin membentangkan kertas kerja yang bertajuk (النكرة والمعرفة) dan (المبتدأ والخبر والنواسه – كان وأخواتها وإن وأخزاتها)). Kuliah yang sarat dengan maklumat dan ulangkaji bagi kebanyakkan peserta yang telah lama meninggalkan alam nahu dan saraf itu berakhir pada jam 2.00 petang. Kali ini Dr. Ata’ Abu Jabin bukan sahaja membentangkan kertas kerja, bahkan mengajak semua peserta bersama-sama menggunakan pengetahuan yang disampaikan melalui lembaran-lembaran kerja yang disediakan.



Tuesday, April 28, 2009

HARI KEEMPAT



LAWATAN KE SEKOLAH-SEKOLAH DI OMAN

Masa lawatan
7.30 pagi-2.00 petang
* peserta kursus dibahagikan kepada 4 kumpulan. Setiap kumpulan mengandungi 6-7 orang bersama seorang kakitangan Mudiriyah)

Jenis Sekolah
Sekolah rendah (Asasi)

Kedudukan sekolah
Sekolah bandar dan pinggir bandar Muscat

Nama Sekolah
Madrasah al-Zahraa’ Li al-Ta’lim al-Asasi
Madrasah Umal li al-Ta’lim asasi
Madrasah Zahrah al-Maarif
Madrasah Al-Uzaibah li al-Ta’lim al-Asasi
Madrasah Thurayya binti Muhammad al-Bu Sa’id

ANALISA DAPATAN AWAL SEPANJANG LAWATAN TERSEBUT

Keadaan Kelas
1) Kelas yang amat selesa. Rata-rata semua kelas mempunyai susun atur yang kemas. Beg-beg murid sama ada diletakkan di bangku panjang di belakang kelas atau digantung di tempat yang dikhaskan.

2) Kelas yang kondusif, ada penghawa dingin, kedap bunyi dan sangat selesa
3) Jumlah pelajar seramai antara 26-30 orang memudahkan pengawalan kelas

Kedudukan murid dalam kelas
1) Murid-murid belajar mengikut kumpulan, setiap murid sama ada mempunyai meja sendiri atau berkongsi sebuah meja besar dengan ahli kumpulan.

Cara guru menjalankan P & P
1) Hasil pengajaran dinyatakan di sudut papan hitam
2) Langkah –langkah yang teratur
3) Pengulangan isi pengajaran begitu kreatif
4) Penyampaian guru yang jelas dan teratur
5) Isi pembelajaran tidak begitu banyak
6) Suara guru yang sangat lantang dan menekankan sebutan yang jelas ketika mengajar.
7) KBKK diterapkan secara menyeluruh dalam setiap aktiviti.
8) Guru menggunakan gaya pengajaran berpusatkan pelajar dan BBM.
9) Rancangan pengajaran guru teratur dan diamalkan melalui P&P
10) Guru mempelbagaikan teknik pengajaran melalui aktiviti latihvtubi dan teknik penyoalan.
11) Guru sangat kreatif dalam melaksanakan aktiviti
12) Guru sentiasa memuji murid, memberi ganjaran kepada pelajar yang berjaya dalam setiap aktiviti

BBM yang digunakan
1) Bahan bantu mengajar yang pelbagai menarik minat pelajar.
2) Penggunaan BBM pada setiap aktiviti memudahkan guru dan menarik minat pelajar.
3) BBM yang berlainan dalam setiap kumpulan ketika langkah pengajaran yang sama dilaksanakan.
4) Penggunaan BBM yang berwarna warni menarik minat pelajar.

Penglibatan murid-murid dalam kelas
1) Murid murid aktif
2) Murid diminta mencuba menjawab sedaya upaya mereka.

Isi kandungan P & P
1) Guru menggunakan gaya pengajaran berpusatkan pelajar dan BBM.

Bahan –bahan yang diperolehi hasil lawatan:

1. Lagu-lagu Arab untuk tujuan P&P
2. Bahan-bahan pemulihan
3. Power Point pengajaran bahasa Arab.
4. Buku katalog bahan P&P
5. Buku Rekod Pengajaran Guru
6. Buku Panduan Aktiviti Ko-kurikulum
7. Kompilasi kertas-kertas kerja

Monday, April 27, 2009

HARI KETIGA




KULIAH KEDUA

Pada hari ini para peserta kembali ke bilik kuliah di Mudiriyah. Kali ini, kelas dikendalikan oleh Syeikh Khalil al-Battasyi yang merupakan salah seorang kakitangan Mudiriyah. Beliau membentangkan kertas kerja yang bertajuk (القراءة السليمة بقواعدها الصحيحة).


Sunday, April 26, 2009

HARI KEDUA

ورقة العمل الأولى : علامات الترقيم : المعنى، الدلالة، الموقع و تطبيقات علمية

اسم المحاضر : الدكتور محمد أحمد العقلة (مدرب مادة اللغة العربية في مركز التدريب الرئيسي

مدة المحاضرة : 10،30 حتى 1،45 مساء

الأهداف

التعرف إلى مفهوم الترقيم وأهميته في اللغة العربية

التعرف إلى أهمية علامات الترقيم دورها في إيضاح المعنى وإزالة اللبس والغموض عند القارئ

التعرف إلى أشكال وصور علامات الترقيم ومواضع استخداتمها في الكتابة وكيفية توظيفها في القراءة والفهم

توظيف علامات الترقيم في الكتابة و القراءة من خلال تنفيذ بعض الأنشطة التطبيقية المتنوعة.

توظيف علامات الترقيم في أماكنها المناسبة في الكتابات اليومية المختلفة

Saturday, April 25, 2009

MAJLIS PERASMIAN KURSUS

Tepat jam 8.00 pagi di Oman, rombongan Malaysia meninggalkan hotel kediaman untuk menghadiri majlis perasmian Kursus Latihan Guru-Guru Bahasa Arab Malaysia di Oman yang dijadualkan bermula sekitar jam 8.45 pagi. Sesampai di al-Mudiriyah al-‘Ammah li Tanmiyati al-Mawarid al-Basyariah (Institut Umum Pembangunan Sumber Manusia) yang merupakan tempat rasmi kursus tersebut dijalankan, kami disambut oleh para pegawai dan pensyarah di sana. Selepas perkenalan ringkas, kami terus memasuki dewan utama untuk mengikuti majlis perasmian.

Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh adik ‘Asim bin Muhammad al-Jabariy dari Sekolah Rendah al-Khuwayr diikuti dengan ucapan Pengarah Institut oleh Dr. Ahmad Bin Muhammad Bind ‘Abdan al-Hina’iy. Seterusnya Pn. Aisyah Binti Salim al-‘Arimiyah yang merupakan penyelaras program kursus menyampaikan taklimat ringkas berkaitan jadual program dan diakhiri dengan bacaan syair oleh Syeikh Ahmad Bin Nasir al-Salami. Majlis seterusnya adalah penyampaian tanda hati oleh rombongan Malaysia kepada pihak institut yang disempurnakan oleh Ustaz Anwar.

Setelah majlis perasmian, kami menikmati jamuan ringan yang disediakan di luar dewan sambil beramah mesra dengan para kakitangan institut. Selesai menikmati kudapan yang disediakan, kami bergambar bersama pengarah, timbalan pengarah dan kakitangan institut. Seterusnya kami memasuki dewan kuliah untuk mengikuti kuliah pertama.

BENGKEL PERTAMA

Selepas selesai kuliah pertama, para peserta pulang ke hotel untuk menikmati makan tengahari dan berehat. Sekitar jam 8.00 malam, bengkel pertama telah diadakan. Antara perkara yang dibincangkan dalam bengkel pertama ini adalah penyusunan organisasi dan bengkel pembinaan modul serta penyelarasan urusan lawatan ke sekolah-sekolah yang dijadualkan pada hari Isnin nanti. Di dalam bengkel tersebut juga para peserta telah mengutarakan beberapa masalah berkaitan dengan penginapan, pengangkutan, tempat kursus dan lain-lain. Bengkel ini selesai pada jam 10.30 malam.

OMAN : NEGARA YANG PENUH DENGAN KETAKJUBAN

Semasa perjalan kami menuju ke hotel kediaman rasmi kami, kami disajikan dengan pemandangan Bandar Muscat yang tidak pernah terbayang sebelum ini. Kalau sebelum ini, adanya yang menggeleng kepala (tanda khuatir atau bimbang) apabila melihat muka bumi Oman semasa penerbangan dari Dubai, kini lebih ramai yang menggeleng kepala tanda takjub dengan kekayaan negara ini. Pada mulanya kebimbangan wujud melihatkan dari ruang udaranya tiada bangunan pencakar langit seperti yang pernah disaksikan di Dubai yang tersergam megah di sana Burj al-Arab. Namun apabila melihat negara Oman dari tingkap bas yang kami naiki kami berasa takjub dengan kemewahan rakyat ini yang memandu kereta-kereta mewah dan keindahan lanskapnya yang kehijauan.


Kini barulah kami faham mengapa nilai tukaran 1 Riyal Oman bersamaan dengan lebih kurang RM 10. Selain itu, pegangan kuat rakyat asal Oman terhadap budaya dan tradisinya yang lebih mengagumkan. Dalam kemajuan teknologi moden, mereka masih lagi mengekalkan budaya berjubah dan berserban serta bercapal sebagai pakaian rasmi mereka, baik di dalam bangunan-bangunan pejabat, mahupun di luar pejabat. Di mana-mana sahaja dapat dilihat orang dewasa, pemuda dan kanak-kanak berpakaian jubah putih, berserban dan bercapal, bermula dari seorang pemandu teksi, kerani sehinggalah kepada pegawai kementerian, pakat teknologi dan sebagainya. Sungguhpun ramai pendatang dari luar negara seperti India, Pakistan, Bangladesh, Filipina, Thailand dan sebagainya bekerja, namun budaya tersebut masih teguh dikekalkan. Apa yang lebih membanggakan ialah di mana-mana dapat kami lihat orang berjubah dan berserban memandu kereta-kereta dan MPV mewah seperti Lexus, Mercedes, GMC, Mustang, Ferrari, Audi dan sebagainya. Apa yang kami tidak sedar sebenarnya banyak lagi ketakjuban menunggu kami selepas ini.

Friday, April 24, 2009

SAFEER CONTINENTAL HOTEL

KEDIAMAN RASMI ROMBONGAN MALAYSIA DI OMAN

Setelah hampir 30 minit perjalanan menaiki bas, kami tiba di hotel yang akan menjadi kediaman kami selama 26 hari mengikuti kursus di Oman. Di sana, kami sekali lagi disambut oleh para pegawai yang menyambut kami di lapangan terbang. Kami difahamkan bahawa setiap peserta rombonga akan ditempatkan seorang sebilik, selain 3 kali makan sehari (sarapan, makan tengahari dan makan malam). Begitulah kemurahan hati kerajaan Oman yang memberikan keistimewaan sebegitu rupa kepada kami di sini. Setelah selesai proses check-in dan ucapan ringkas oleh Ustaz Anwar dan En. Fadhli, kami semua masuk ke bilik masing-masing untuk berehat.

Pada malam tersebut telah diadakan pertemuan diantara ahli rombongan dengan En. Sayyid al-Hasyimi pegawai dari al-Mudiriyah al-‘Ammah li Tanmiyati al-Mawarid al-Basyariah (Institut Umum Pembangunan Sumber Manusia) yang memberikan serba sedikit gambaran tentang negara Oman dan perjalanan kursus. Selain itu sesi soal jawab juga diadakan bagi mendapatkan penjelasan tentang beberapa perkara. Selepas pertemuan tersebut, para peserta telah diberikan taklimat ringkas oleh ketua rombongan, Ustaz Md Ahir berkaitan protokol dan etiket bagi menghadiri majlis perasmian pada keesokan harinya.

Bagi anda yang ingin menghantar bingkisan dari Malaysia, bolehlah menghantarnya melalui alamat berikut :




Safeer Hotel & Tourism Co.
Post Box No. 121, P.C : 115
Al-Khuwair, Muscat, Sulatanate of Oman.
Tel : +968 24471111 Fax : +968 24471100

HARI PERTAMA

ROMBONGAN MALAYSIA MENJEJAKKAN KAKI DI BUMI OMAN

Lebih kurang jam 10.40 pagi waktu tempatan, pesawat Oman Air yang dinaiki oleh rombongan Malaysia dari Dubai mendarat di bumi Oman. Rasa terharu bercampur kesyukuran menyelinap dalam diri setiap peserta rombongan kerana bagi semua peserta, inilah kali pertama mereka sampai ke bumi Oman. Sesampai di Terminal Utama, kami disambut oleh En. Fadhli dari Kedutaan Malaysia di Oman dan beberapa orang pegawai dari Kerajaan Oman. Selepas perkenalan singkat, kami menjalani proses permohonan visa dan pengesahan passport serta pemeriksaan bagasi sebelum disambut oleh Ustaz Anwar yang telah berada di sana sejak 3 hari yang lalu. Sebuah bas menunggu kami di sana dan kami menaiki bas tersebut. Sebelum bertolak, al-Fadhil Ustaz Afandi sekali lagi membacakan doa kesyukuran kerana perjalanan kami tidak menghadapi masalah besar. Ustaz Anwar kemudian memberi sedikit ucapan dan taklimat ringkas tentang perjalanan program pada hari ini dan hari berikutnya. Selepas itu, kami bertolak menuju ke hotel penginapan rasmi kami.

MAJLIS PRA-KEBERANGKATAN KE OMAN

Berikut merupakan antara intipati ucapan Yang Berusaha Tn. Hj Abdullah Bin Hj. Salleh, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, KPM semasa majlis perasmian Mesyuarat Pembinaan Modul dan Pra-Keberangkatan rombongan Kursus Bahasa Arab Di Oman yang berlangsung dari 22-23 April 2009. Mesyuarat tersebut yang diadakan di Allson Klana Hotel, Nilai sempena keberangkatan 26 orang termasuk pegawai, pensyarah IPGM dan guru-guru Bahasa Arab j-QAF seluruh negara yang bakal mengikuti kursus Bahasa Arab di Oman dari 25 April 2009 hingga 20 Mei 2009.

1. Beliau mengucapkan tahniah kepada peserta yang terpilih memandangkan ramai calon yang telah ditemuduga di seluruh negara.
2. Beliau juga mengingatkan bahawa para peserta merupakan duta kecil Malaysia di Oman untuk memperkenalkan budaya masyarakat Malaysia di Oman.
3. Beliau melahirkan harapan agar setiap peserta yang pergi berkursus sebagai mewakili negeri masing menjadi role model di negeri masing-masing.
4. Beliau menyatakan harapan yang tinggi agar inovasi-inovasi pendidikan yang terdapat di Oman dapat dimanfaatkan oleh guru-guru di Malaysia setelah pulang berkursus. Oleh itu beliau berharap kumpulan 26 ini juga dapat mencipta inovasi pendidikan yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja guru-guru di sekolah rendah bahkan di sekolah menengah.
5. Selain itu diharapkan para peserta kursus dapat menghasilkan modul yang dapat digunakan untuk faedah semua murid yang mempelajari bahasa Arab. Beliau berpesan agar para peserta dapat mengambil kesempatan daripada kursus ini untuk memperkasakan diri sendiri sebelum memperkasakan orang lain.

Thursday, April 23, 2009

SENARAI LENGKAP PESERTA ROMBONGAN


KETUA ROMBONGAN
Tn. Hj. Md. Ahir B. Ahmad

Ketua
Sektor Pengurusan Pendidikan Islam,
Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak

NAIB KETUA ROMBONGAN
Encik Rahmat bin Othman
Pensyarah
IPGM Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.

PENYELARAS UMUM
En. Ideris B. Abd Rahim
Pen. Pengarah
Bahagian Pendidikan Islam KPM

PENYELARAS KURIKULUM
En. Safian B. Adam
Pen. Pengarah
Bahagian Pembangunan Kurikulum,
Unit Bahasa Arab,
Bahagian Pendidikan Islam KPM

SETIAUSAHA
En. Mohd. Lutfi B. Abu Bakar

Pegawai Bahasa Arab,
Sektor Pengurusan Pendidikan Islam,
Jabatan Pelajaran Negeri Perak.

PENOLONG SETIAUSAHA
En. Mohamad Azizi B. Mukhtar
SK Hutan Kampung , 05350, A. Setar ,Kedah

BENDAHARI

En. Esibi B. Lakui@Abd Halim

Pegawai Bahasa Arab,
Sektor Pengurusan Pendidikan Islam,
Jabatan Pelajaran Negeri Sabah.

PEGAWAI JPN
En. Khairiel Bin Moktar
Pegawai Bahasa Arab,
Sektor Pengurusan Pendidikan Islam,
Jabatan Pelajaran Negeri Melaka.

PENSYARAH INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA

Encik Rafuan bin Othman
IPGM Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang

Tuan Haji Salleh bin Jusoh @Mamat
IPGM Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu

Encik Abd. Aziz bin Hassan @Yahya
IPGM Kampus Darul Aman, Kedah.

Encik Abdul Satar bin Mohamad
IPGM Kampus Kent, Sabah

Encik Wan Mohd Badrudin B Abd Rahman
IPGM Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah


GURU BAHASA ARAB

En. Ali Ahmad B. Yusof
Guru SK King Edward VII (I), Jalan Stesen. 34000 Taiping, Perak

En. Najmuddin B. Ghani
SK Beseri,
Kilometer 12, Jln. Kaki Bukit, 01000 Kangar, Perlis

En. Yusof B. Yaacob
SK Batu Lanchang,
Lrg. Bt Lanchang, 11600, Georgetown, P.Pinang

En. Affandy B. Mat Nor
SK Methodist (ACS) Seremban,
Jln. Lintang, 70000, Seremban, N. Sembilan

En. Mior Syazril B. Mohamad Sapawi
SK Taman Suria,
Jalan Suria Utama, Tmn. Suria, 81100, Johor Bahru, Johor

En. Mohd. Yusri B. Kamarudin
SK Batu Berendam,
75350, Bt. Berendam, Melaka

En. Mohd Ikmal Izwan B Rosli
SK Batu 38,
Kg. Batu 38, 45200, Sabak Bernam, Selangor

En. Abdul Samad B. Abdoll Aziz
SK Jln. Gurney (2),
Jln. Gurney Satu, 54000, K. Lumpur

En. Ahmad Hairy B. Haderi
SK Desa Bakti,
28400, Mentakab, Pahang

En. Khair Allutfi B. Abd Manan
SK Gong Badak,
21300, K.Terengganu, Terengganu

En. Ahmad Tarmizi B. Awang
S.K Kampung Tengah,
18000, Kuala Krai, Kelantan

En. Mohd. Sayuti B. Abd Syukur
SK Lok Yuk,
Peti Surat 12122, 88823, K. Kinabalu, Sabah

En. Mohamad B. Ismail
SK Encik Buyong,
D/A Pejabat Pelajaran Gabungan 93050, Kuching, Sarawak

Wednesday, April 22, 2009

OBJEKTIF KURSUS




Di akhir program ini, peserta akan dapat :
1. Meningkatkan kemahiran berbahasa Arab dikalangan peserta kursus.
2. Meningkatkan keyakinan peserta dalam menggunakan bahasa Arab dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
3. Mendedahkan kepada peserta persekitaran penutur jati bahasa yang sebenar bagi memperkukuhkan penguasaan bahasa Arab.
4. Menghasilkan teknik pengajaran yang berkesan untuk menguasai bahasa Arab dalam perbualan, pembacaan dan penulisan

PERUTUSAN KETUA ROMBONGAN

Di kesempatan ini saya mengucapkan syukur kehadrat Allah S.W.T dan berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, khususnya Pengarah Bahagian Pendidikan Islam yang telah memilih saya dan ahli rombongan seramai 26 orang terdiri dari 14 orang Guru Bahasa Arab program j-QAF, 6 orang Pensyarah Bahasa Arab dari Institut Pendidikan Guru Malaysia dan 4 orang Pegawai dari Bahagian Pendidikan Islam, Bahagian Perkembangan Kurikulum, dan Jabatan Pelajaran Negeri, ke negara Oman dibawah program pertukaran pegawai pelajaran antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pelajaran Oman selama sebulan.

Tujuan penghantaran rombongan ini ke Oman ialah untuk mencari dan membina modul pengajaran Bahasa Arab disekolah rendah yang lebih mesra dan berkesan. Dengan gandingan tenaga guru-guru, pensyarah IPGM dan pegawai-pegawai penggerak dari Kementerian dan Jabatan Pelajaran Negeri. Usaha ini insyaAllah akan membuahkan hasil.

Apa yang diharapkan ialah dengan bimbingan dari pensyarah-pensyarah dan jurulatih-jurulatih dari kalangan bangsa arab sendiri akan membuahkan sesuatu yang boleh meningkatkan mutu Pengajaran dan Pembelajaran di sekolah. Dan dengan lawatan-lawatan ke sekolah-sekolah di sekitar Bandar Muscat, Oman ini bakal membuahkan suatu perubahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di Malaysia.
Atas komitmen semua pihak saya mengucapkan ribuan terima kasih.

SALAM PERUBAHAN DARI BUMI MUSCAT, OMAN.
Haji Md. Ahir Bin Ahmad